Kes penangkapan Nurul Izzah Anwar menjadi tajuk utama media luar. Mengapa media tempatan seperti tidak menjadikan kes ini sebagai berita utama.
Berikut adalah petikan dari Malaysiakini.
Berita penangkapan Ahli Parlimen Lembah Pantai yang juga Naib
Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar semalam telah menjadi tajuk utama di seluruh
dunia. Pada jam 11 malam tadi, media yang menyiarkan berita tersebut termasuk
Asahi Shimbun di Jepun, BBC di United Kingdom, New York Times di Amerika
Syarikat, Sydney Morning Herald di Australia, The Hindu di India, Post Bangkok
di Thailand dan Manila Times di Filipina. Akhbar kewangan antarabangsa seperti
Financial Times yang berpejabat di UK dan Wall Street Journal yang berpejabat
di AS, turut memberi perhatian terhadap penangkapan Nurul Izzah itu. "Anak
ketua pembangkang yang dipenjara, ditangkap," bunyi tajuk utama New York
Times. Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang menjalani hukuman penjara selepas disabitkan
dengan tuduhan liwat. Juga ditekankan dalam banyak laporan itu ialah langkah
kerajaan Malaysia yang terus menggunakan Akta Hasutan 1948, termasuk
kemungkinan ia digunakan untuk menyekat perbezaan pendapat politik.
Kebanyakan laporan itu dari perkhidmatan wayar seperti Reuters dan
Associated Press, tetapi banyak organisasi berita yang lebih besar, menyiarkan
laporan mereka sendiri. Contohnya termasuk saluran TV Al-Jazeera, BBC, New York
Times dan Financial Times. Nurul Izzah ditangkap di Balai Polis Daerah Dang
Wangi kira-kira jam 3 petang semalam, apabila beliau tiba untuk memberikan
kenyataan mengenai penglibatannya dalam perhimpunan Kita Lawan pada 7 Mac.
Dalam satu kenyataan malam tadi, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar
berkata, Nurul ditahan di bawah Akta Hasutan bagi membantu siasatan polis
terhadap perhimpunan tersebut, dan ucapannya di Parlimen yang menyentuh sistem
kehakiman negara.
Katanya, Nurul Izzah akan dibebaskan sebaik sahaja kenyataannya
direkodkan, tanpa menyatakan bila. Perhimpunan Kita Lawan yang diadakan di
Kuala Lumpur pada 7 Mac, telah menarik kira-kira 10,000 penyokong turun ke
jalanan untuk menunjukkan solidariti dengan Anwar, yang telah dihukum penjara
selepas disabitkan atas tuduhan meliwat bekas pembantunya.
Anwar tetap bertegas bahawa beliau tidak bersalah dan mendakwa
tuduhan terhadapnya itu adalah satu konspirasi politik. Ekoran perhimpunan
tersebut, polis telah menahan ramai pemimpin yang terlibat. Nurul Izzah adalah
orang yang kesembilan ditahan berkaitan dengannya. Awal
hari ini, Human Rights Watch mengeluarkan kenyataan media di Malaysia,
mengkritik penangkapan ahli Parlimen Lembah Pantai.
*Petikan ini diambil dari berita Malaysiakini.
0 comments:
Post a Comment