Subscribe For Free Updates!

We'll not spam mate! We promise.

Sunday, 2 November 2014

KOKO- Kebaikan khasiat koko

Asal usul Koko
-Sejarah koko bermula sejak 600 Tahun Masihi apabila pokok koko mula ditanam di lembah Amazon. Kaum maya dipercayai mula-mula menanam koko di dunia. Setelah itu koko diperkenalkan kepada kaum Aztec melalui aktivit perdagangan.
 Kegunaan koko mula-mula ditemui oleh masyarakat Maya dan Aztec. Ketika itu biji-biji koko digunakan sebagai minuman yang dikenali sebagai 'Cacahoatl'. Koko dianggap sebagai makanan dewata. Selaun itu, koko juga digunakan sebagai mata wang dalam sistem pertukaran barang.
 Koko mendapat nama saintifiknya 'Theobroma cacao" daripada kepercayaan orang-orang Maya dan Aztec. Theobrom bermakna makanan dewata. Kedua-dua kaum ini mengaitkan koko dengan Ek Chuah, tuhan perdagangan sementara Aztec pula dikaitkan dengan Quetzalcoatl, tuhan pencipta da penyelia pertanian.
 Cacao pula berasal daripada perkataan kaum Maya dan Aztec iaitu Cacahoatl. Mereka menganggap koko sangat istemewa. Minuman chocolatl hanya disediakan sebagai minuman Maharaja sahaja.

Kebaikan

1. Kesan antioksida poliphenol
-Koko mengandungi polyphenols. Apakah polyphenols? Secara ringkas merupakan kelompok bahan kimia dengan lebih dari satu unit fenol per molekul. Kandungan yang paling penting didapati dari koko adalah flavan-3-ols atau lebih dikenali sebagai catechin. Koko juga mengandungi flavanoids iaitu merupakan kumpulan kandungan kimia yang memberikan tindakan antioksida yang kuat.

2. Mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular
-Mengikut kajian, kuantiti antioksida yang diserap dari koko dan coklat adalah lebih tinggi berbanding wain, teh dan sayur. Pengambilan koko sebagai makanan yang kaya dengan antioksida flavanoids dapat mengurangkan risiko atherosclerosis serta mengurangkan kematian akibat penyakit koronari jantung.

3. Membekalkan tenaga
-Coklat yang ihasilkan dari koko sangat baik dalam membekalkan tenaga. Ianya sangat sesuai untuk mereka yang gemar bersukan kerana coklat yang dicampurkan dengan susu sangat berkesan dalam memulihkan diri yang keletihan. Ia juga mampu meredahkan kekejangan otot setelah sesi bersukan yang berat dan memberikan tenaga bagi mereka pada hari berikutnya. Ini bermaksud akan mengembalikan tenaga yang telah digunakan.

4. Tidak memberikan kesan yang buruk kepada gigi
- Selama ini ramai yang beranggapan bahawa memakan coklat memberikan kesan yang tidak baik kepada gigi seperti gigi berlubang. Sebenarnya ia tidak akan memberikan kesan seperti itu. Theobromine, molekul organik yang terdapat pada koko dapat membantu menguatkan enemal gigi. Namun pada masa sekarang terdapat pelbagai coklat yang dihasilkan dan mengandungi gula yang ditambah menyebabkan molekul baik ini telah dineturalkan.

5. Tenaga segera ketika lapar
-Coklat merupakan makanan pembekal tenaga segera yang berkesan. Ia bekalkan karbohidrat dan lebih cekap apabila ditambahkan dengan susu yang juga merupakan sumber tenaga yang baik.

Monday, 13 October 2014

AIR LEMON-KEBAIKAN DALAM MENU HARIAN

Kelebihan Buah Lemon

1. Meningkatkan sistem imunasasi badan
-Buah lemon mengandungi kadar vitamin C dan kalium yang tinggi. Vitamin C sangat berguna untuk menguatkan imunasasi badan terhadap melawan selesema. Fungsi kalium pula ialah membantu dalam merangsang otak, fungsi saraf dan mengawal tekanan darah.

2. PH badan
-Buah lemon adalah sumber makanan yang mengandungi kadar alkali yang tinggi. Lemon adalah berasid dengan sifat yang tersendiri iaitu asid sitrik iaitu asid yang tidak mewujudkan keasidan dalam badan manusia apabila dimetabolismekan. Ini mewujudkan tahap kandungan alkali dalam badan dalam kadar ph yang seimbang untuk menjamin kesihatan dalaman manusia.

3. Memperbaiki kulit
-Buah lemon mempunyai ciri-ciri antioksidan yang banyak membantu dalam memerangi kerosakan radikal bebas yang bertanggunjawab untuk gejala penuaan. Buah lemon berfungsi dengan sangat bauk dalam melawan penuaan kulit. Kandungan vitamin C yang tinggi juga mewujudkan sintesis kolagen yang boleh mencegah kedutan pada kulit.Vitamin C ini diperlukan dalam sintesis asid amino ke dalam kolagen dan tugas kolagen adalah untuk menganjalkan dan melindungi tisu kulit.

4. Mengawal berat badan
-Buah lemon mengandungi pektin, serat larut yang biasa ditemui dalam buah-buahan sitrus. Pektin membantu dalam menghindari rasa kelaparan manakala serat mewujudkan rasa kenyang dan menyebabkan anda kurang rasa lapar. Dengan kenyang yang lama anda akan membuat pemilihan makanan yang lebih sedikit atau makan hanya alah kadar dan juga mengurangkan selera untuk memakan jenis makanan ringan atau makanan segera. Ini menyumbang kepada penurunan berat badan.

5. Menyingkirkan toksin dalam badan
-Pengambilan minuman berasaskan buah lemon juga banyak membantu dalam menyingkirkan toksin dalam badan terutamanya di buah pinggang dan hati selain merangsang sistem pencernaan supaya lebih aktif. Ia juga boleh meingkatkann keupayaan tubuh bada untuk menyerap nutrien.

6. Membantu masalah pernafasan
-Pengambilan atau budaya meminum air yang dicampur dengan buah lemon boleh membantu dalam mengatasi masalah batuk. Air lemon juga boleh mengurangkan gejala asma atau alergi. Pengambilan yang teratur atau selalu diambil pada waktu pagi boleh membantu dalam mengekalkan kesihatan.

Membudayakan pengambilan air lemon setiap pagi sesuatu yang baik dalam mengekalkan budaya hidup sihat.

Wednesday, 8 October 2014

SABAH SARAWAK KELUAR MALAYSIA (SSKM)-TUJUAN PENUBUHAN

SSKM
Sabah Sarawak Keluar Malaysia

1. Pembangunan. Mengikut pemerhatian admin mengenai SSKM ini, ia ditubuhkan berpunca dari perasaan tidak puas hati rakyat Sabah dan Sarawak mengenai cara pentadbiran kerajaan yang memerintah sekarang terhadap layanan kepada Sabah dan Sarawak terutamanya pembangunan yang tidak seimbang antara Sabah Sarawak dan Semenanjung Malaysia. Ini kerana kedua kedua-dua negara (penyokong SSKM menggunakan perkataan negara) ini merupakan penyumbang kepada sumber kewangan yang besar kepada Persekutuan Malaysia terutamanya dari pengeluaran hasil bumi iaitu minyak. Kedua-dua negara ini juga sangat kaya dari segi sektor pelancongan yang merupakan salah satu penyumbang terbesar ekonomi Malaysia. Sabah terutamanya sangat sempurna dari segala bentuk tarikan pelancong. Seperti pulau yang bertaraf dunia, hutan yang penuh kepelbagian, kawasan pergunungan yang indah, gua batu yang besar dan terkenal, dasar laut antara yang tercantik di dunia dan sangat banyak lagi yang admin tidak perlu sebut. Persoalannya...kemana semua pendapatan kedua-dua negara ini? Bukankah kedua-dua negara ini sepatutnya sudah membangun dan maju. Namun sebaliknya yang berlaku. Kedua-dua negara ini merupakan yang termiskin di Malaysia. Bukankah kedua-dua negara ini sepatutnya yang paling kaya dan maju di Malaysia? Dengan layanan yang tidak adil ini menyumbang kepada wujudnya SSKM.

2. Perjanjian Malaysia 1963. Pembentukan Malaysia melibatkan empat (4) buah kerajaan yang merdeka. North Borneo,  Persekutuan Tanah Melayu, Sarawak dan Singapura(telah keluar) Dalam perjanjian ini menyatakan 4 kerajaan ini adalah sama taraf, namun kini yang berlaku adalah sebaliknya. Mengikut pemerhatian admin SSKM menuntut agar status Sabah Sarawak dikembalikan mengikut perjanjian asal pembentukan Malaysia.  Rakyat Sabah Sarawak rasa tertipu kerana kedaulatannya telah dicabuli oleh pemerintahan Malaysia yang juga merupakan Persekutuan Tanah Melayu.(Ada penyokong SSKM menyatakan Persekutuan Tanah Melayu bertopengkan Malaysia-Benar atau tidak?) Jika benar, ini merupakan satu bentuk penjajahan terhadap Sabah Sarawak oleh Persekutuan Tanah Melayu. Dengan perkataan penjajahan, ini boleh menyatakan bahawa kedaulatan Sabah Sarawak telah dirampas seperti yang admin jelaskan sebelum ini. Kedaulatan yang dicabuli dan dirampas ini menjurus kepada wujudnya SSKM. 

3. Agama dan Perkauman. Dalam isu ini, admin mohon budi bicara dari pembaca. Ini menurut pemerhatian admin dari SSKM. Masyarakat Sabah Sarawak mengikut pemerhatian admin merupakan masyarakat yang sangat berbilang kaum. Dengan etnik yang sangat pelbagai. Namun dari segi mentality,  masyarakat kedua negara ini sangat bertolak ansur antara sesama. Masyarakat juga sangat memahami  dan menghormati antara satu sama lain. Maksud admin, benar-benar memahami dan menghormati antara satu sama lain. Kepada pembaca Sabah Sarawak akan faham maksud admin dengan perkataan 'benar-benar'. Hampir semua masyarakat Sabah Sarawak telah ditanam dengan nilai murni dalam hati yang sangat tinggi dari kecil. Dengan perkara agama dan kaum tidak pernah menjadi isu di Sabah Sarawak. Oleh sebab itu, apabila wujudnya isu sensitif agama dan perkauman yang dibawa masuk oleh pihak -pihak yang tidak bertanggunjawab dari luar dan pihak ini tidak diambil tindakan, maka masyarakat Sabah Sarawak merasa seperti ada unsur- unsur yang cuba untuk merosakkan keharmonian yang telah terpelihara selama ini. Dengan menularnya isu yang tidak pernah terlintas dalam pemikiran setiap masyarakat Sabah Sarawak, maka masyarakatnya bangun untuk mengelakkan terjadinya perkara yang lebih teruk dan merosakkan minda masyarakat Sabah Sarawak. Dengan kesedaran ini, terbentuknya SSKM.

4. Kebebasan. Dalam perkataan kebebasan ini, SSKM sentiasa menyatakan kebebasan dari pelbagai perkara terutamanya dalam hal mengurus ekonomi sendiri dan perkara ini terdapat dalam salah satu syarat pembentukan Malaysia. Namun, penilaian admin dalam hal kebebasan ini lebih dari itu. Jika admin membaca komen-komen pengikut SSKM, admin merasakan pengikut SSKM mahu lebih dari kebebasan biasa. Mereka mahukan kebebasan yang lebih bermakna. Kebebasan yang boleh melapangkan fikiran, kebebasan seperti memungkinkan anda melakukan segalanya tanpa sekatan. Kebebasan seperti terlepas dari penjara atau cengkaman penjajah. Ya, cengkaman penjajah dan mereka ingin merasakan makna kemerdekaan yang sebenar. Admin seperti terbawa-bawa dengan keinginan kebebasan apabila membaca setiap komen pengikut SSKM. Maka wujudnya SSKM ini untuk menuntut kebebasan yang sebenar.

5. Jawatan kerajaan. Isu ini juga terdapat dalam perjanjian Malaysia 1963. Siapa yang tidak pernah tahu, admin nasihatkan supaya ambil tahu. Ianya disebut Borneosasi jika admin tidak silap. Pengisian jawatan dalam kerajaan juga sering admin terbaca dalam komen pengikut SSKM. Kenapa kurangnya dan sukarnya pelajar dari Sabah Sarawak yang telah habis belajar tidak mendapat pekerjaan dalam kerajaan. Dan kenapa kebanyakannya dari semenanjung? Guru dari semenanjung, pegawai tinggi di jabatan atau kementerian dari semenanjung. Tiada yang layak dari Sabah Sarawak? Adalah mustahil tiada yang layak setelah lebih 50 tahun pembentukan Malaysia. Sabah Sarawak merasakan wujudnya layanan yang tidak adil malah melanggar syarat perjanjian Malaysia. Dengan golongan terpelajar juga menerima kesan dari ketidakadilan ini dan kesedaran yang timbul untuk menuntut hak yang telah dirampas, maka wujudnya SSKM.

6. Keluar Malaysia. Perkataan 'keluar' sepatutnya tidak wujud dalam isu SSKM ini kerana Sabah Sarawak tidak pernah masuk Malaysia kerana Malaysia tidak pernah wujud sebelum Perjanjian Malaysia 1963. Perkataan yang sesuai mungkin 'berpisah' dari Persekutuan Malaysia. Kefahaman admin dalam perkara ini mengikut perkembangan SSKM, SSKM wujud untuk menuntut hak-hak Sabah Sarawak dalam Perjanjian Malaysia 1963. Jika hak ini tidak dikembalikan juga bermaksud kedaulatan Sabah Sarawak, jalan terakhir adalah berpisah dari Persekutuan Malaysia. 

Artikal admin ini adalah mengikut pemerhatian dalam SSKM. Artikal ini juga adalah mengikut penilaian sendiri admin setelah melihat sendiri perbincangan yang berlaku di medium sosial Facebook SSKM.

Sunday, 28 September 2014

PM DITEGUR OLEH TUN DR.MAHATHIR

Teguran ini merupakan salinan dari blog Tun.Dr Mahathir sendiri.

TEGURAN

1. Ada orang yang memberitahu kepada Dato Seri Najib Tun Razak yang saya telah memburukkan pemerintahannya.
2. Saya tidak akan menyangkal kerana saya telah berkali-kali menegur dasar-dasar Kerajaan sekarang.
3. Saya menegur kerana saya berpendapat pemimpin yang tidak ditegur akan percaya segala-gala yang dilakukan oleh mereka baik-baik belaka. Hanya apabila ditegur sahaja barulah pemimpin akan sedar akan kesalahan dan mungkin akan memperbetulkannya.
4. Izinkan saya mencerita cerita dongeng berkenaan seorang raja Inggeris. Ia dikelilingi dengan ramai dato-dato yang mendakwa dia adalah seorang raja yang amat berkuasa keatas segala-galanya. Demikian pasang-surut air di laut pun akan patuh kepada perintahnya.
5 Alkesah, maka pada satu hari raja menitah untuk meletakkan takhtanya di pantai menghadapi laut.
6. Air sedang pasang dan raja bertanya kepada dato-datonya apakah baginda boleh hentikan air pasang supaya tidak basahkan kakinya.
7. Jawab mereka, “Ya, Tuanku. Air tidak akan sampai kaki Tuanku.”
8. Maka raja pun menitah supaya air laut itu tidak naik lagi.
9. Tetapi air laut itu terus pasang dan kena pada kaki baginda. Maka baginda pun murka kepada dato-datonya.
Demikianlah sikap dato-dato kerana ingin menyenangkan hati raja mereka.
10. Satu lagi cerita dongeng juga ialah berkenaan dato-dato istana yang tidak pernah menegur raja. Mereka sepanjang masa mengiyakan saja apa juga yang dilakukan oleh raja.
11. Satu hari raja masuk dewan dalam keadaan bogel. Baginda bertanya cantikkah pakaiannya. Semua angguk kepala dan berkata “Ya Tuanku”.
12. Hanya seorang budak yang berkata, “Tuanku bogel.”
13. Maka raja pun murka akan dato-datonya yang tidak berkata yang benar apabila dia bogel.
14. Kita boleh dapat sedikit pelajaran dari cerita-cerita dongeng ini.
15. Orang Melayu mempunyai banyak pepatah yang boleh jadi panduan dalam kehidupan mereka. Antaranya ingin saya sebut disini:
“Sayangkan anak tangan-tangankan
Sayangkan isteri tinggal-tinggalkan”
Dengan izin saya ingin menambah sedikit kepada pepatah ini.
“Sayangkan pemimpin tegur-tegurkan”
16. Saya lihat bagaimana orang Melayu tidak mudah menegur pemimpin. Walaupun pemimpin jelas bersalah, tidak ada siapa yang sanggup menegur secara terbuka. Tetapi di belakang pemimpin mereka akan keluarkan kata-kata yang kesat terhadapnya.
17. Mungkin saya berbeza sedikit dari Melayu lain. Apabila YTM Tunku membuat beberapa dasar dan tindakan yang tidak disenangi oleh ramai orang Melayu, saya menulis surat menegur Tunku.
18. Walaupun kerananya saya dipecat, tetapi YTM Tunku meletak jawatan sebagai Perdana Menteri. Mungkin bukan kerana teguran saya, tetapi hakikatnya Tunku mengundur diri.
19. Demikian juga dengan Tun Abdullah Ahmad Badawi. Mungkin kerana teguran, mungkin kerana prestasi buruk Pilihanraya ke 12. Tetapi hakikatnya Tun Abdullah juga letak jawatan.
20. Saya sendiri pun letak jawatan. Sebahagian dari sebabnya ialah kerana saya dengar bisik-bisik yang menyoal “Bila lagi orang tua ini akan pergi.” Saya percaya jika saya tidak letak jawatan, bisik akan jadi jeritan.
21. Pilihan saya bagi mengganti Tun Abdullah ialah Dato Seri Najib. Setelah beberapa lama dilihat bahawa dasar dan tindakan Dato Seri Najib tidak lebih berkesan dari Tun Abdullah.
22. Saya tidak sangka yang pencapaiannya dalam Pilihanraya Umum ke13 lebih buruk dari Tun Abdullah.
23. Harapan saya Dato Seri Najib akan mengambil ikhtibar dari prestasinya yang buruk dalam Pilihanraya Umum ke 13. Malangnya sehingga kini tidak ternampak apa-apa perubahan dari segi dasar atau pendekatan walaupun saya cuba menyampaikan pendapat saya, (yang juga pendapat ramai yang datang bertemu saya) secara langsung kepada Dato Seri Najib.
24. Saya tidak ada pilihan selain dari menarik balik sokongan saya. Ini pun tidak berkesan. Oleh itu terpaksalah saya menegur.
25. Apakah dianya yang saya fikir salah. Ia bermula dengan pendirian melayani semua tuntutan musuh. ISA dan undang-undang buang daerah dimansuh. Tindakan ini tidak sedikit pun mengurangkan tentangan oleh parti lawan. Sebaliknya jenayah bertambah dengan banyaknya kerana pembebasan ketua-ketua geng.
26. Demikian juga dengan sikap merendah diri kepada negara jiran sehingga urusan dalam negeri pun tertakluk kepada pendapat Kerajaan negara jiran.
27. Tetapi pendapat kaum dan parti yang kuat menyokong untuk menyelamatkan kedudukan Kerajaan tidak diberi layanan yang saksama.
28. Wang Kerajaan diguna untuk mempengaruhi sokongan rakyat apabila sahaja pilihanraya umum diadakan. Ini menjadikan rakyat terlalu bergantung kepada Kerajaan untuk segala-galanya. Bagi yang betul-betul miskin, bantuan seperti ini memanglah wajar. Tetapi beribu rakyat yang ditawar menolak bantuan wang seperti ini. Semangat rakyat untuk bekerja menjadi luntur apabila mereka diberi ganjaran tanpa apa-apa usaha oleh mereka. Semangat ini tidak akan menolong pembangunan Negara.
29. Dasar ekonomi mengutamakan tuntutan pengguna. Impot barangan digalakan dan industri tempatan diabaikan, bahkan dihalang oleh dasar Kerajaan.
30. Cuti ditambah sehingga adakalanya pekerja bercuti lebih satu minggu. Sebaliknya gaji minimum dinaikkan tanpa mengambilkira kenaikan kos yang boleh menjadi perniagaan dan perusahaan tidak bedayasaing dengan barangan impot.
31. Sesungguhnya banyaklah dasar, pendekatan dan perbuatan Kerajaan pimpinan Dato Seri Najib yang merosakkan hubungan antara kaum, merosakkan ekonomi dan kewangan negara.
32. Semua ini disebabkan penyokong Kerajaan tidak pernah menegur pemimpin.
33. Jikalau tiada siapa yang sanggup menegur, biarlah saya menegur. Saya pernah dipecat oleh Tunku Abdul Rahman, dipulau oleh Datuk Seri Abdullah dan difitnah oleh ramai. Jika kerana menegur saya akan didera, terpaksalah saya terima.
34. Bukanlah saya tidak sayang pemimpin. Tetapi saya lebih sayang bangsa dan negara saya.

Source; 

Thursday, 25 September 2014

Hukum Mencukur Bulu Kemaluan


Apa yang dimaksudkan dengan mencukur bulu kemaluan ialah mencukur bulu yang tumbuh disekeliling faraj wanita atau dia atas kemaluan lelaki. Tindakan yang diutamakan ialah mencukur, tetapi diharuskan pula dengan cara bergunting, mencabut dan menggunakan sejenis cecair kapur yang disapukan pada kulit yang menggugurkan bulu kulit itu. 

Seorang ulama Syaikh Ibn Daqiq berpendapat bahawa sebahagian ulama cenderung mengutamakan bercukur bagi kaum wanita, kerana perbuatan mencabut akan berakibatkan kendurnya kulit di tempat itu.

Anjuran yang sedemikian ini merupakan satu amalan yang digalakkan agar tidak ada kutu atau tungau yang dapat hidup dibahagian kemaluan, disamping tidak mendedahkannya kepada serangan penyakit tambahan pula kewujudan bulu pada kemaluan baik perempuan begitu juga lelaki, akan dapat menimbulkan bau yang kurang selesa.

Anas bin Malik berkata : “Telah ditentukan waktu untuk kami memendekkan misai, mengerat kuku, mencabut bulu ketiak, mencukur bulu kemaluan dan kami tidak dibenarkan untuk membiarkannya lebih dari masa empat puluh malam”. – (Riwayat Muslim, Ibn Majah, Ahmad, Tarmizi, Al-Nasai dan Abu Daud).

Dalam perkara mencukur ini, HARAM bagi seorang perempuan mencukur bulu kemaluannya dihadapan perempuan lain, begitu juga HARAM bagi seorang lelaki mencukur bulu kemaluannya dihadapan perempuan lain, ataupun seorang perempuan atau seorang lelaki membenarkan orang lain untuk mencukur bulu kemaluannya. Mendedahkan aurat adalah HARAM disisi syarak, kecuali pendedahan seorang isteri untuk suaminya atau seorang suami untuk isterinya.

Selain mencukur bulu kemaluan ada kaitannya seorang perempuan membersihkan bulu muka. Imam Ahmad telah meriwayatkan, bahawa Bakarah binti Uqbah telah datang menemui Ummu al-Mu’minin ‘Aisyah r.a lalu ia bertanya kepada Aishah mengenai hal ini. 

Aisyah menjawab : “Pokok yang baik dan air yang suci” Ia bertanya lagi tentang membersihkan muka. Aisyah menjawab : “Jika kamu mempunyai suami dan kamu boleh menggugurkan dua biji mata kamu dan menggantikannya (kedua-duanya) dengan lebih cantik, maka lakukanlah.”. 

Membersihkan muka bagi seorang perempuan dan juga badannya daripada bulu-bulu yang berlebihan adalah dibolehkan. Akan tetapi rambutnya hendaklah ia menghormati dan memeliharanya. Begitu juga jika sekiranya janggut atau misai tumbuh pada seorang perempuan, maka hendaklah ia menghapuskannya.

Wanita Dirogol Polis, Pegawai JPAM, Anggota RELA

Sekadar Hiasan
KOTA KINABALU - Seorang konstabel polis, seorang pegawai di Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan seorang anggota Rela ditahan di bandar Sandakan selepas seorang wanita mendakwa dirogol oleh ketiga-tiga individu terbabit.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Salehudin Abdul Rahman berkata, ketiga-tiga lelaki berusia antara 27 dan 37 tahun itu ditahan pada Khamis.

Katanya, wanita berusia 21 tahun itu mempunyai laporan polis mengenai insiden itu di ibu pejabat polis daerah Sandakan pada 24 September.

Wanita tersebut mendakwa, dua hari lalu, tiga lelaki menahannya kerana dia gagal menunjukkan sebarang dokumen pengenalan diri.

Dalam kejadian pada kira-kira pukul 1 pagi itu, wanita itu mendakwa dipaksa melakukan hubungan seks secara bergilir-gilir oleh ketiga-tiga suspek yang berpakaian seragam selepas dia gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri.

Mangsa memberitahu ketiga-tiga anggota pasukan keselamatan itu bahawa dokumen pengenalan dirinya masih dalam proses dan hanya memiliki salinan Pendaftaran Orang Asing Khas (IMM13).

 Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, SAC Salehhudin Abd Rahman ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu.

Salehudin berkata, dalam laporan tersebut wanita tersebut mendakwa ketiga-tiga lelaki itu membawanya ke sebuah hotel dan dia dipaksa melakukan hubungan seks dengan mereka. Jelasnya, polis masih melakukan siasatan mengenai dakwaan itu. -mStar.

Malware 'Zeus' Sasar Pengguna Maybank2u, Cimbclicks Melalui Smartphone Android


Hari ini, laman Facebook CyberSecurity Malaysia, sebuah organisasi di bawah MOSTI, telah memuat status tentang sejenis malware yang kini sedang giat digunakan oleh penggodam yang mensasarkan pengguna Maybank2U dan CIMB Clicks.

Walaupun malware yang bernama 'Zeus' itu sudah lama wujud, tapi kini penciptanya mula mensasarkan pengguna perbankan online di Malaysia. Sebelum ini, malware yang sama dilaporkan berjaya mencuri lebih US$47 juta!

Di Malaysia pula kerugian sudah dilaporkan sudah mencapai RM60,000 sepanjang bulan ini dan kebanyakan mangsa adalah dari kawasan Lembah Klang, lapor Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Bukit Aman, Datuk Hamza Taib, memetik Utusan Malaysia.

Ikuti butiran dibawah untuk informasi yang lebih jelas mengenai Zeus :

Siapa Mangsa Malware Zeus :


  • Pengguna Telefon Pintar yang menggunakan Android
  • Pengguna Sistem Windows yang tidak di update

Bagaimana Zeus Bertindak :

  • Malware tersebut akan memaparkan satu laman web palsu yang menyerupai laman web perbankan online dan meminta no telefon dan sistem pengoperasian.



  • Kemudian, malware tersebut akan menghantar satu SMS berupa link kepada satu installer Android (APK). Apabila pengguna menginstall apk tersebut telefonnya akan berada di bawah kuasa penggodam. Dengan cara ini, penggodam dengan senang mendapat maklumat peribadi mangsa.




Objektif Utama Zeus 

  • Mendapatkan username dan password akaun perbankan online mangsa
  • Mendapatkan kod pengesahan TAC dari bank di dalam SMS mangsa 

Sebagai langkah berjaga-jaga, pengguna diminta bagi mengemaskini perisian antivirus dan juga sentiasa berhati-hati apabila berurusan dengan aktiviti-aktiviti yang melibatkan perbankan online. Pastikan aplikasi yang anda install berasal dari Play Store.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai malware ini sila ke laman cybersecurity. Bagi sesiapa yang berminat untuk belajar mengenai malware ni, boleh lihat kodnya di github .

Sumber

Sabah Selepas 16 September 1963


Pengabungan Persekutuan Tanah Melayu, Sarawak dan Sabah telah membentuk sebuah kerajaan persekutuan yang baru iaitu Persekutuan Malaysia. Pengabungan ini dari sudut harapan rakyat Sabah adalah untuk memastikan kelancaran pembangunan dan keselamatan Sabah. Dari sudut sejarah, walaupun sangat kurang dokumen sejarah yang boleh menjadi bahan rujukan, tetapi terdapat rekod yang masih boleh diguna pakai. Dari isu pungutan suara rakyat Sabah untuk membentuk Malaysia dikatakan suruhanjaya yang bertanggunjawap memungut suara rakyat tidak sampai kepada semua rakyat Sabah. Ini menimbulkan persoalan adakah pungutan suara itu mendapat sokongan 2/3 dari rakyat Sabah.

Dalam isu sejarah Sabah dan Sarawak yang telah hilang entah kemana. Ramai yang berpendapat isu ini sengaja kerajaan tidak timbulkan bertujuan untuk membentuk sebuah kerajaan yang mempunyai identiti sendiri iaitu beridentitikan Ke"melayu"an. Mungkin cara ini akan membentuk rakyat yang mempunyai sejarah yang sama, cara berfikir yang sama, menyokong kerajaan yang sama, cara budaya yang sama dan banyak lagi perkara yang cuba diterapkan agar mudah dibentuk dalam acuan yang sama walaupun hakikatnya rakyat dari pelbagai kaum, kepercayaan, budaya, bahasa dan pelbagai lagi yang membezakan kita semua. Tindakan ini akan mengubah keseluruhan masyarakat di Malaysia. Kecuali kaum Cina dan India yang sememangnya tidak mudah untuk di "Melayu"kan. Namun terdapat juga masyarakat kaum ini yang berjaya di"Melayu"kan. Bagi rakyat berstatus Bumiputera, mereka ini lah yang menjadi sasaran untuk dijadikan bangsa Melayu sedangkan hakikatnya Bumiputra ini berasal dari pelbagai kaum dan etnik yang merupakan penduduk tetap atau penduduk asal terutamanya di Sabah dan Sarawak. Banyak kes yang berlaku apabila orang yang bertukar agama atau memeluk agama Islam akan di ajar supaya bangsa mereka adalah Melayu. Kes ini bukan rekaan. Pernah berlaku di Sabah dan mungkin masih berlaku. Tak kisah lah mereka nak memeluk agama apa pun, tetapi jangan pula bangsa asal atau pun kaum terus berubah juga. Kejadian seperti ini yang berlaku amat menakutkan, percubaan untuk menukar identiti ke arah ke"Melayu" an. Biarlah mereka dengan kaum Melayu dan biarkan kami dengan kaum kami. Islam, Kristian, Buddah atau sebagainya, kami tetap dengan bangsa kami.

Kerajaan sepatutnya menjaga kesemua kaum atau bangsa di Malaysia. Tidak terhad kepada Melayu sahaja. Kerajaan perlu cuba untuk mengubah mantiliti pemikiran rakyat agar Malaysia ini bukan setakat Melayu sahaja. Pernah kah anda berfikir sejenak. Cuba anda fahami pemikiran sendiri. Cuba anda fikirkan tentang MALAYSIA. Apakah pertama yang terlintas di fikiran anda? Melayu? Jika ya..anda tergolong dalam rakyat yang telah di "BRAINWASH" oleh kerajaan dalam bentuk pendidikan, dalam bentuk iklan kenegaraan, dalam media cetak dan media elektronik (Tv1,Tv2 & Tv3 terutamanya) Pendidikan telah menjadi saluran yang paling penting bagi mana~mana kerajaan untuk membentuk identiti rakyat. Malaysia juga termasuk dalam kes ini dan lebih teruk lagi, kerajaan cuba membentuk satu sejarah yang sama bagi semua rakyat. Bermula dari pendidikan awal kanak~kanak, sekolah rendah, sekolah menengah, universiti, kolej dan semua institut pendidikan di Malaysia. Dalam sejarah Malaysia hanya sejarah Tanah Melayu sahaja yang diketengahkan. Sejarah mereka lah yang banyak diulas dan diterangkan. Bagi rakyat Sabah dan Sarawak, kami hampir kehilangan sejarah sendiri akibat dari tindakan kerajaan persekutuan yang menghilangkan sejarah kami. Tujuannya adalah sama. Membentuk identiti yang berindentitikan Melayu. Mereka telah hampir berjaya dan mungkin akan berjaya jika perkara ini tidak dihalang dan diperbetulkan. Menghilangkan identiti kaum lain dengan cara ini merupakan salah satu penjajahan minda yang sangat halus dan kejam. 

Kes Ebola Boleh Cecah 1.4 Juta

NEW YORK - Pegawai Kesihatan Amerika Syarikat (AS) mengeluarkan amaran keras terhadap kes wabak Ebola yang boleh menjangkiti 1.4 juta mangsa pada pertengahan Januari tahun depan jika tidak dibendung dengan segera.
Unjuran yang dilakukan oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) itu berdasarkan perkembangan yang berlaku sejak akhir Ogos lalu.
"Saya berharap unjuran yang paling buruk ini tidak akan berlaku," kata Ketua CDC, Dr. Tom Frieden semasa mendedahkan mengenai laporan berkenaan.
Lebih 5,800 pesakit Ebola dan 2,800 kematian berlaku dalam tempoh enam bulan lalu dan pihak berkuasa kesihatan antarabangsa memberi amaran bahawa krisis itu mungkin akan menjadi lebih teruk apabila masih banyak kes kematian berlaku manakala banyak kes jangkitan gagal dikesan.
Pihak CDC memberi contoh mengenai angga- ran bilangan kes yang dilapor dan tidak dilaporkan pada 30 September sebenarnya telah mencecah 21,000 orang hanya di dua buah negara iaitu Liberia dan Sierra Leone.
Kadar itu, menurut CDC boleh menyebabkan pesakit Ebola mencecah 1.4 juta jika masih berlarutan dan tiada tindakan berkesan diambil.
Berikutan itu, pihak berkenaan menggesa tindakan agresif diambil seperti mengasingkan pesakit Ebola sama ada di hospital atau di rumah selain langkah-langkah pencegahan lain termasuk aspek pengebumian mayat pesakit wabak maut itu.
"Langkah lebih agresif boleh menghalang wabak ini," kata Frieden.
Kelmarin, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut memberi amaran bahawa kes di tiga buah negara iaitu Guinea, Liberia dan Sierra Leone akan meningkat sebanyak tiga kali ganda kepada 20,000 kes jika tiada langkah berkesan diambil.
Tanda-tanda penyakit Ebola ialah demam, sakit sendi, muntah, cirit-birit, serta pendarahan luaran dan dalaman. Sehingga hari ini belum ada penawar bagi penyakit berkenaan.
Sementara itu, menurut seorang pakar, Dr. Ar- mand Sprecher, masalah ini dapat ditangani sekiranya pesakit atau mangsa Ebola yang telah meninggal dunia tidak disentuh tanpa menggunakan sebarang pelindungan. - AP

Kenaikan Gaji Penjawat Awam Tidak Benar

JPA

PUTRAJAYA - Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) hari ini menafikan penyebaran berita mengenai kenaikan gaji dan elaun kakitangan awam yang tersebar luas melalui media sosial.

JPA dalam kenyataan di sini memohon kerjasama semua pihak untuk tidak menyebarkan berita berkenaan sekiranya ada menerimanya.

Berita yang mendakwa kakitangan awam akan menerima kenaikan gaji baharu mulai 1 Januari 2015 didapati tersebar secara meluas di laman sosial dan ruang maya. - Bernama

'Sabah Sarawak Keluar Malaysia', Idea Lapuk


KUCHING - Saranan "Sabah Sarawak keluar Malaysia" sebenarnya sudah lama wujud, malah sejak awal pembentukan Persekutuan Malaysia lagi.

Di sebalik polemik yang berlaku, tarikh keramat, 16 September, 1963 yang menyaksikan pembentukan Persekutuan Malaysia sudah terpahat kemas dalam lipatan sejarah negara.
    
Rakyat rata-rata sudah bersuara mahukan sebuah negara maju dan makmur dengan wawasan jelas.
    
Justeru apabila muncul semula isu keluar Malaysia ini, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem turut melahirkan rasa kecewa.
    
Ketika berucap pada sambutan Hari Malaysia di Miri pada 16 September lepas, beliau bukan sahaja menyelar saranan pihak tertentu itu tetapi menyifatkannya sebagai idea bodoh.

Katanya, selepas 51 tahun penubuhan Malaysia, adalah malang apabila masih ada pihak yang cuba membawa cadangan itu.
    
Menurut Adenan, mereka yang menampilkan idea itu adalah daripada kumpulan minoriti dan idea itu ditolak majoriti.
    
Sementara itu, pada majlis yang sama, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata semangat serta kegigihan yang ditunjuk penduduk Sarawak dan Sabah menampakkan bahawa mereka bangga serta berpuas hati dengan langkah bijak pemimpin terdahulu yang memilih untuk merdeka bersama Malaysia.
    
"Kini kita tidak akan berpatah balik, kita akan pertahankan kedaulatan Sabah dan Sarawak di dalam Malaysia, dan saya sebagai Perdana Menteri, menjadi tanggungjawab saya, jika ada yang cuba menggugat keselamatan, kedaulatan negara, bersedialah untuk berhadapan dengan tindakan kekuatan undang-undang negara," katanya.
    
Komplot pemisah
    
Di Sabah, isu berkaitan cubaan membawa keluar Sabah dari Malaysia paling ketara mencuri tumpuan ramai sekitar 1990-1991.
    
Ini ekoran penahanan tujuh aktivis serta ahli politik di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (kini sudah dimansuhkan) kerana terlibat dalam komplot pemisahan itu.
    
Isu mengenainya dari semasa ke semasa terus disentuh, dibangkitkan atau diperkatakan secara tidak langsung.

Ia lebih ketara lagi setiap menjelang musim pilihan raya, dimanipulasi dalam setiap ceramah, syarahan pidato oleh mereka yang bertujuan meraih sokongan.
    
Pelbagai cara
    
Di Sarawak pula nadanya agak berbeza sedikit kerana saranan "Keluar Dari Malaysia" ini tidak dilaungkan secara jelas.
    
Bagaimanapun, idea seperti "Sarawak for Sarawakian" secara tidak langsung menyeru penduduk tempatan bangkit bagi mengemukakan pelbagai tuntutan daripada Kerajaan Persekutuan di mana idea yang mencabar pembentukan Malaysia dijadikan modal tuntutan.
    
Di alam siber pula, kumpulan penggerak idea itu mengambil peluang daripada ledakan teknologi maklumat yang memperkenalkan pelbagai laman sosial termasuk Whatsapp untuk mengetengahkan idea ini.
    
Paling ketara kewujudan Pertubuhan Aspirasi Rakyat Sarawak (SAPA) dan United Borneo Front (UBF) yang banyak mengemukakan pelbagai hujah bagi menyokong idea bahawa perjanjian berhubung pembentukan Malaysia pada tahun 1963 tidak sah.

Ia juga pada dasarnya menolak dakwaan bahawa rakyat Sarawak ketika itu bersetuju dengan projek pembentukan Malaysia.
    
Tiga perkara utama
    
Adenan dalam ucapannya di Miri berkata rakyat Sarawak telah diajukan tiga perkara sebelum pembentukan Persekutuan Malaysia.
    
Perkara-perkara itu ialah pertama, sama ada mereka mahu merdeka dan bebas daripada cengkaman penjajah; kedua, sama ada rakyat Sarawak daripada pelbagai kaum, agama serta budaya mahu bersama Tanah Melayu, Sabah (North Borneo ketika itu), Brunei dan Singapura membentuk negara baru; dan ketiga, sama ada mahu membentuk Malaysia dan diberikan syarat-syarat tertentu.
    
Menurut beliau, rakyat Sarawak ketika itu memberikan jawapan "YA" kepada ketiga-tiga perkara berkenaan.
    
Sokongan yang diberi itu perlu dihormati memandangkan selepas pembentukan Malaysia, Sarawak memperoleh pelbagai manfaat dari segi ekonomi, sosial dan politik, jelas beliau lagi.
    
Cinta kepada negara
    
Empat hari selepas sambutan Hari Malaysia, ketika perlawanan bola sepak persahabatan antara Harimau Malaya dan Kemboja (Harimau Malaya menang 4-1), aksi hebat Joseph Kalang Tie selepas menjaringkan gol pertama negara menjadi topik perbualan hangat.
    
Beliau dilihat mengucup bendera Malaysia, Jalur Gemilang yang terdapat di jersi beliau selepas menjaringkan gol itu.
    
Pemain berusia 27 tahun itu menyifatkan aksi spontan beliau itu sebagai terjemahan rasa cinta kepada negara dan hadiah Hari Malaysia.
    
Ketika ditanya mengenai saranan Sarawak keluar dari Malaysia, pemain kelahiran Long Ikang, Baram, Miri yang menjadi ketua pasukan skuad Ngap Sayot bagi saingan Liga Super 2014 itu berpendapat ia adalah pandangan peribadi masing-masing.
    
Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa keamanan serta keharmonian yang sudah dicapai seharusnya dikekalkan.
    
Sementara itu, mantan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Seri Alli Kawi dalam satu pertemuan dengan Bernama baru-baru ini berkata, isu keluar dari Malaysia sepatutnya tidak ditimbulkan lagi.
    
Malahan, kata beliau, generasi muda seharusnya perlu menghargai setiap pengorbanan yang dilakukan sehingga membawa kepada pembentukan Malaysia yang berjaya.
    
Katanya, rakyat Sarawak terutama generasi muda harus melihat bagaimana kemerdekaan yang dicapai berjaya membentuk Sarawak sebagai sebuah negeri yang berbeza dan rakyat yang mempunyai peluang lebih baik berbanding ketika di bawah penjajahan British.
    
Nasihat untuk generasi muda
    
Alli, 80, yang juga pengantara ketika Perjanjian Sri Aman 21 Okt, 1973 antara kerajaan negeri dengan Partai Rakyat Kalimantan Utara (Paraku) bagi menamatkan insurgensi di Sarawak berkata bukan mudah untuk memperoleh kemerdekaan.
    
Beliau lalu menasihat generasi muda supaya tidak memperjudikan keamanan yang dicapai.
    
"Biarpun selepas kejayaan membentuk Malaysia pada 19 Sept, 1963, pasukan keselamatan di negeri ini seperti polis dan tentera berterusan menjaga keselamatan dan kedaulatan negara khususnya di Sarawak daripada ancaman komunis", kata Alli.
    
Bagi Sarjan (B) Dihoi Nyawen, 58, anak tempatan yang berasal dari Bau yang pernah menabur khidmat di Semenanjung serta di negeri kelahirannya, Sarawak pula ketika dikemukakan isu itu memberi pandangan yang sama.
    
Beliau menekankan bahawa isu keluar Malaysia seharusnya tidak ditimbulkan lagi dan berharap rakyat bijak menilai baik buruk sesuatu perkara.
    
"Saya pernah berkhidmat di Semenanjung ketika negara menghadapi ancaman komunis. Ada juga tentera dari sana (Semenanjung) menabur bakti di Sarawak.
    
"Kamu lihat sejak kejayaan pembentukan Malaysia, Semenanjung dan Sarawak khususnya sudah banyak membantu antara satu sama lain. Cadangan supaya keluar tidak patut timbul, sebaliknya selepas 51 tahun hubungan kita sepatutnya lebih erat", katanya.
    
Menurut Dihoi, atas rasa cinta kepada negara, beliau juga menggalakkan dua orang anaknya menyertai perkhidmatan tentera.
    
Seorang daripadanya sedang berkhidmat di Johor manakala seorang lagi di Sampadi, Sarawak.
    
"Ini sumbangan kecil saya kepada negara apabila menggalakkan anak untuk berkhidmat dan seterusnya menjaga kedaulatan negara", katanya yang pernah menyertai operasi bersama mendiang Datuk Temenggung Kanang Langkau ketika Ops Jara Aman di Julau pada 1983. - Bernama

Wednesday, 24 September 2014

15 Tahun Tunggu, Penduduk Bina Jalan Sendiri Di Pitas


Bayangkan pelajar sekolah rendah yang perlu bangun dinihari, lama sebelum matahari terbit.

Kemudian dengan berjalan kaki mereka merentasi hutan, mendaki bukit, melalui beberapa ladang kelapa sawit dan menyeberangi beberapa sungai menerusi jambatan gantung untuk sampai ke sebuah tempat perhimpunan utama di sebuah sungai yang besar.
Selepas itu mereka perlu pula menaiki bot ke jeti terdekat sebelum berjalan merentasi beberapa lagi ladang kelapa sawit untuk ke sekolah setiap hari.

Inilah yang dihadapi pelajar dari enam kampung di Pitas, Kudat di Sabah kerana jalan yang dijanjikan 15 tahun lalu masih tidak terbina.

Bosan dengan janji kosong, enam penduduk kampung nekad nekad mengeluarkan simpanan mereka sendiri untuk membina sebatang jalan balak.

Projek membina jalan sepanjang 7.5 kilometer itu turut meminta sokongan semangat, publisiti dan derma wang tunai bagi membantu kira-kira 3,000 penduduk kampung yang rata-ratanya bekerja sebagai petani dan pemungut hasil hutan keluar dari kepompong kemiskinan.

Laman web mereka www.pitasroad.org menyatakan jalan balak tersebut akan menghubungkan enam kampung iaitu – Kampung Dowokon, Kampung Mandamai, Kampung Kobon, Kampung Perupok, Kampung Maliau Pusat and Kampung Maliau Layung – ke pekan Pitas.
Keenam mereka kini sedang giat mendapatkan sokongan dari orang ramai kerana mempunyai peralatan dan tenaga yang amat terbatas, selain tiada pengalaman melakukan pembinaan tersebut.

Menurut laman web itu, penduduk kampung memerlukan kira-kira RM85,000 lagi selepas menggunakan wang simpanan mereka sebanyak RM5,000 menyelenggara sebuah mesin pengorek terpakai, dua buah gergaji berantai dan menyewa sebuah mesin jengkaut berharga RM150 setiap hari bagi membina jalan tersebut.

Akhbar The Star Sabtu lalu melaporkan seorang penduduk Maklin Masiau berkata kerajaan negeri Sabah telah berjanji membina jalan melalui kampung tersebut pada tahun 1999.

"Saya fikir kesusahan dan kesengsaraan penduduk kampung akan berakhir dan keadaan akan menjadi lebih baik," kata beliau sambil menunjukkan laporan akhbar Daily Express pada 5 Ogos 1999 yang melaporkan "berita baik" tersebut.
Beliau berkata kerajaan memulakan pembinaan Jalan Pitas Pandan Pinapak pada tahun 2000 sebelum berhenti tanpa sebab selepas membina jalan batu sepanjang dua kilometer.

Penduduk enam kampung tersebut kini hanya mengharapkan Sungai Bengkoka yang bermasalah untuk dilalui sekiranya paras air naik atau ketika musim hujan.

Mereka yang mahu membantu boleh menghubungi komuniti tersebut di emel mereka pgks7@yahoo.com.my atau ikuti perkembangan lanjut di laman Facebook mereka dihttps://www.facebook.com/pitasroad.

Laman kempen itu menggunakan slogan “Orang kampung mau bikin jalan raya”.


Sumber: malaysiakini

Thursday, 7 August 2014

Perjanjian 20 Perkara Sabah Dalam Persekutuan Malaysia

Kepada mereka yang tidak tahu kandungan Perjanjian 20 Perkara Sabah dalam membentuk Persekutuan Malaysia, sila baca;

Perkara 20


Perkara 1: AGAMA

“WALAUPUN TIADA BANTAHAN TERHADAP ISLAM MENJADI AGAMA RASMI MALAYSIA, AGAMA RASMI TIDAK ADA DI BORNEO UTARA DAN PERUNTUKAN BERHUBUNG DENGAN ISLAM MENGIKUT PELEMBANGAAN MALAYA HENDAKLAH TIDAK MERANGKUMI BORNEO UTARA.”

Perkara 2: BAHASA


“(a) BAHASA MELAYU HENDAKLAH MENJADI BAHASA KEBANGSAAN PERSEKUTUAN.
(b) BAHASA INGGERIS AKAN TERUS DIGUNAKAN UNTUK TEMPOH SEPULUH TAHUN SELEPAS HARI MALAYSIA.
(c) BAHASA INGGERIS HENDAKLAH MENJADI BAHASA RASMI BORNEO UTARA, UNTUK SEMUA TUJUAN BAIK PADA PERINGKAT NEGERI MAHUPUN PERSEKUTUAN TANPA HAD TEMPUH.”


Perkara 3: PERLEMBAGAAN

“WALAUPUN PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN MALAYA DITERIMA SEBAGAI ASAS PERLEMBAGAAN MALAYSIA, PERLEMBAGAAN MALAYSIA HENDAKLAH MENJADI DOKUMEN ANTARA NEGERI DAN BUKAN BERBENTUK BEBERAPA SIRI PINDAAN TERHADAP PERLEMBAGAAN YANG DIPERSETUJUI DALAM KEADAAN YANG BERLAINAN SAMA SEKALI. PERLEMBAGAAN BARU UNTUK BORNEO UTARA SUDAH TENTU PERLU.”

Perkara 4: KETUA PERSEKUTUAN

“KETUA NEGARA BORNEO UTARA TIDAK BOLEH MENJADI KETUA NEGARA PERSEKUTAN.”

Perkara 5: NAMA PERSEKUTUAN

“MALAYSIA” BUKANNYA “MELAYU RAYA”.

Perkara 6: IMIGRESEN

“KAWALAN KEMASUKAN ORANG KE MANA-MANA KAWASAN DI MALAYSIA DARI LUAR ADALAH TERLETAK DI BAWAH KUASA KERAJAAN PUSAT TETAPI KEMASUKAN KE BORNEO UTARA PERLU MENDAPAT KELULUSAN KERAJAAN NEGERI. KERAJAAN PERSEKUTAN TIDAK BOLEH MENGHALANG KEMASUKAN ORANG KE BORNEO UTARA UNTUK TUJUAN KERAJAAN NEGERI KECUALI ATAS SEBAB KESELAMATAN.
BORNEO UTARA HENDAKLAH MEMPUNYAI KUASA YANG TIDAK TERBATAS BAGI MENGAWAL PERGARAKAN ORANG-ORANG DARI KAWASAN-KAWASAN LAIN DI MALAYSIA KE DALAM BORNEO UTARA, SELAIN DARIPADA YANG BEKERJA DENGAN KERAJJAN PERSEKUTUAN DI BORNEO UTARA.”

Perkara 7: HAK PEMISAH

“TIDAK HARUS ADA SEBARANG HAK UNTUK BERPISAH DARIPADA PERSEKUTUAN.”

Perkara 8: PERBORNEOAN

“PENGAMBILALIHAN PERKHIDMATAN AWAM OLEH RAKYAT BORNEO HENDAKLAH DILAKSANAKAN DENGAN SECEPAT MUNGKIN.”

Perkara 9: PEGAWAI BRITISH

“SEGALA USAHA HENDAKLAH DIBUAT UNTUK MENGGALAKKAN PARA PEGAWAI BRITISH KEKAL DALAM PERKHIDMATAN AWAM SEHINGGA TEMPAT MEREKA BOLEH DIAMBIL OLEH ORANG-ORANG YANG LAYAK DARI BORNEO UTARA.”

Perkara 10: KEWARGANEGARAAN

“SARANAN-SARANAN DALAM PERENGAAN 148 (k) LAPORAN SURUHANJAYA COBBOLD HENDAKLAH MERANGKUMI HAK-HAK KEWARGANEGARAAN RAKYAT BORNEO UTARA DALAM PERSEKUTUAN, TERTAKLUK KEPADA PINDAAN-PINDAAN BERIKUT:
(A) PERENGGAN KECIL (I) TIDAK HARUS MENGANDUNGI PERUNTUKAN MENETAP SELAMA LIMA TAHUN;
(B) DEMI MENYELARASKANNYA KEPADA UNDANG-UNDANG KITA, PERENGGAN KECIL (ii) (a) HENDAKLAH BERBUNYI “TUJUH DARIPADA SEPULAH TAHUN” DAN BUKKANNYA “LAPAN DARIPADA DUA BELAS TAHUN”; DAN
(C) PERENGGAN KECIL (iii) SEHARUSNYA TIDAK MENGANDUNGI SEKATAN BERHUBUNG DENGAN KEWARGANEGARAAN IBU-BAPA – SESEORANG YANG LAHIR DI BORNEO UTARA SELEPAS MALAYSIA MESTILAH MENJADI WARGANEGARA PERSEKUTUAN.”

Perkara 11: TARIF DAN KEWANGAN

“BORNEO UTARA HENDAKLAH BERHAK MENGAWAL KEWANGAN TABUNG PEMBANGUNAN DAN TARIFNYA SENDIRI.”
Bab12 Perkara 12:KEDUDUKAN ISTEMEWA KAUM BUMIPUTERA
“PADA PRINSIPNYA SUKU KAUM BUMIPUTERA DI BORNEO UTARA HENDAKLAH MENIKMATI HAK-HAK ISTEMEWA SEPERTI YANG DINIKMATI OLEH KAUM MELAYU DI MALAYA, TETAPI FORMUKA MALAYA YANG DIGUNAKAN DI MALAYA KETIKA INI TIDAK SEMESTINYA BOLEH DIGUNAKAN UNTUK BORNEO UTARA.”

Perkara 13: KERAJAAN NEGERI

“(a) KETUA MENTERI HENDAKLAH DIPILIH OLEH ANGGOTA-ANGGOTA MAJLIS PERUNDANGAN TIDAK RASMI;
(b) SISTEM MENTERI YANG SEMPURANA HENDAKLAH DIUJUDKAN DI-BORNEO UTARA.”

Perkara14: TEMPOH PERALIHAN

“TEMPOH PERALIHAN HENDAKLAH DISERAHKAN PADA NEGERI BORNEO UTARA OLEH PERLEMBAGAAN DAN TIDAK SEKADAR DIAMANAHKAN KEPADA KERAJAAN NEGERI OLEH KERAJAAN PERSEKUTUAN.”

Perkara15: PELAJARAN“SISTEM PENDIDIKAN YANG ADA DI-BORNEO UTARA SEKARANG HENDAKLAH DIKEKALKAN DAN DILETAKKAN DI BAWAH BIDANG KUASA KERAJAAN NEGIRI.”


Perkara16: PERLINDUNGAN PERLEMBAGAAN

“KERAJAAN PUSAT TIDAK BOLEH MEMBUAT SEBARANG PUINDAAN, MENGUBAHSUAI ATAU MENARIK BALIK MANA-MANA PERLINDUNGAN KHAS YANG TELAH DIBERIKAN KEPADA BORNEO UTARA TANPA PERSETUJUAN KERAJAAN BORNEO UTARA. KUASA MEMBINDA PERLEMBAGAAN NEGERI BORNEO UTARA ADALAH HAK MUTLAK RAKYAT NEGERI ITU.”

Perkara17: PERWAKILAN DALAM PARLIMEN PERSEKUTUAN

“INI HENDAKLAH MENGAMBIL KIRA BUKAN SAJA JUMLAH PENDUDUK BORNEO UTARA TETAPI JUGA SAIZ DAN PETENSINYA DAN DALAM APA KEADAAN PUN TIDAK HARUS KURANG DARIPADA SINGAPURA.”

Perkara18: GELARAN KETUA NEGARA

“YANG DI PERTUA NEGARA”

Perkara19: NAMA NEGERI

SABAH

Perkara20: TANAH,HUTAN, KERAJAAN TEMPATAN DAN LAIN-LAIN

“PERUNTUKAN DALAM PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN BERHUBUNG DENGAN KUASA MAJLIS TANAH NEGARA TIDAK HARUS MERANGKUMI BORNEO UTARA. MAJLIS KEBANGSAAN BAGI KERAJAAN TEMPATAN JUGA TIDAK HARUS
MERANGKUMI BORNEO UTARA.”

Pertanyaan kepada warga Sabah. Adakah perkara ini telah dipatuhi?

Kepada warga bukan Sabah. Adakah anda rasa Kerajaan sekarang telah mematuhi perjanjian ini?