Subscribe For Free Updates!

We'll not spam mate! We promise.

Sunday 11 October 2015

PENGENALAN TENTANG - SULU , ORANG SULU, SULUK, TAUSUG, BANGSA MORO

1. SULU
  
  Sulu bermaksud Negara Sulu atau Kerajaan Sulu (Empayar Kesultanan) atau Kepulauan Sulu. Maka dijelaskan, dalam Kepulauan Sulu itu terdapat 5 pulau yang utama di bawah pemerintahan Sulu iaitu Pulau Sulu @ Sug (Ibu Negeri-Jolo), Tawi-tawi, Basilan (Termasuk Zamboanga), Palawan dan akhir sekali Borneo Utara atau Sabah (sebelum menyertai Persekutuan Malaysia)
Kalau kita susun mengikut susunan ialah:

      1. Pulau Sulu @ Sug (Ibu Negeri-Jolo)
      2. Tawi-tawi
      3. Basilan (Termasuk Zamboanga di Mindano)
      4. Palawan
      5. Borneo Utara (Sabah)

  Kita sekarang hanya mengenali Sulu itu hanya dari nombor 1 sehingga 4 sahaja kerana kita tidak memasukkan Borneo Utara (Sabah) sebagai salah satu dari wilayah Sulu sebabnya ia berada dalam pentadbiran Malaysia merdeka.  Walau bagaimanapun sebahagian kecil wilayah dari Borneo Utara yang asal itu sebenarnya telah dimasukkan kedalam wilayah Kalimantan Indonesia, inilah yang kita maklumi pada hari ini.

2. ORANG SULU

   Orang Sulu bermaksud masyarakat yang pelbagai etnik (kepercayaan, bahasa dan budaya) yang tinggal di Kepulauan Sulu (tidak termasuk Mindano) iaitu etnik:
   
      1. Tausug (Suluk)
      2. Bajao (Bajau, Badjao, Badjaw, Samal, Sama)
      3. Yakan
      4. Kagayan
      5. Iranun (Ilanun)
      6. Kalibugan (Subanun, Suba'anun)

  Sekiranya kita memasukkan kaum-kaum di Borneo Utara (Sabah) maka tentu etniknya akan bertambah walaupun kaum Iranun di Sabah tapi asal mereka memang dari kepulauan Sulu juga demikian kaum Bajao adalah sama dari Kepulauan Sulu.  Seperti yang tersenarai di atas maka jelaslah bahawa Orang Sulu itu bermaksud kesemua masyarakat yang pelbagai etnik yang menduduki Kepulauan Sulu sama ada ia beragama Islam atau tidak.

3. SULUK

  Dalam konteks istilah, Suluk atau Orang Suluk adalah merujuk kepada kaum Tausug, iaitu kaum dominan di Sulu.  Orang Tausug juga digelar orang Suluk oleh masyarakat Melayu Brunei atau Borneo dan Sulawasi disebabkan kesukaran mereka menyebut "Tausug".

4. TAUSUG

   Tausug adalah perkataan asal dari perkataan Suluk atau Orang Suluk.  Orang- orang Melayu Brunei, Sabah, Kalimantan atau Sulawasi memanggil Orang Tausug sebagai Orang Suluk.  Tausug adalah kaum majoriti di Kepulauan Sulu dan punya sejarah kesultanan yang panjang sejak bermula kedatangan Islam ke Sulu pada tahun 1456 M lagi.  Bangsa ini telah menjadi gemilang dan terbilang setelah mereka semua menganut Islam.  Cara hidup mereka berubah setelah itu dan disinilah bermula kemunculan Kesultanan Tausug atau Sulu serta terbinanya satu Empayar Kesultanan Sulu yang terkenal di Alam Melayu.

   Borneo Utara (Sabah) adalah antara wilayah Sultan Sulu ketika dulu sebelum dipajakkan kepada British.  Sabah di hadiahkan oleh Sultan Brunei kepada Sultan Sulu setelah Sultan Sulu berjaya membantu Sultan Brunei menamatkan perang saudara 10 tahun.  Sejak itu bermulalah penguasaan orang Tausug terhadap Borneo Utara atau Sabah.  Kini orang-orang Tausug telah menjadi pelarian dan berserakan di mana-mana terutamanya di Malaysia kerana ada yang tidak kena dengan negara asal mereka (Sulu) hingga kini.  Ini kerana mereka terlibat dengan peperangan yang panjang sejak penjajahan Sepanyol lagi hingga kini.

5. BANGSA MORO

   Terdiri dari dua perkataan Bangsa dan Moro.  'Bangsa' adalah dari Bahasa Melayu bermaksud ras, etnik, jenis atau keturunan atau kaum dan Moro pula membawa maksud kesemua kaum-kaum atau etnik yang beragama Islam di Filipina yang menentang penjajahan.  Dalam konteks seperti yang orang-orang Sulu dan Mindanao fahami, Bangsa Moro membawa maksud kesatuan semua etnik yang menganut Islam sama ada etnik dari Sulu atau dari Mindanao untuk mewujudkan satu negara yang dinamakan 'Moroland' ataupun tanah atau wilayah Moro. Moroland hanya Sulu dan Mindanao sahaja tidak termasuk Luzon yang terdapat Bandar Manila di sana.  Kerana wilayah Luzon itu adalah kepunyaan kerajaan Filipina yang dapat dimerdekakan oleh Aguinaldo dari Amerika Syarikat.  Moro berasal dari perkataan Moor yang dinisbahkan kepada orang Islam Iberia atau Mauretania (Orang Arab Islam Sepanyol) yang dianggap ganas oleh orang Eropah kerana terlalu kuat penentanganya terhadap serangan tentera Eropah.  Ketika Sepanyol menjajah Filipina didapati ada pula kaum yang menentang mereka malah lebih ganas dari Moro di Sepanyol itu.  Maka mereka mengelar Moor juga pada orang Islam Filipina dan disebut dengan lidah Sepanyol sebagi Moro hinggalah ke hari ini.

Kredit : Asreemoro @ Asree Sug / Julasri Hajad

1MDB DIBERSIHKAN - Tun Mahathir

1MDB DIBERSIHKAN


1. Jabatan Peguam Negara telah membersihkan 1MDB dari segala salah laku yang berkaitan dengan penggunaan dana yang diluluskan oleh Bank Negara untuk pelaburan asing.

2. Tetapi Bank Negara jelas tidak berpuas hati dan merayu kepada Peguam Negara tanpa apa-apa perubahan dalam laporan itu. Sekali lagi Peguam Negara menolak rayuan itu.

3. Kita tahu memangnya Peguam Negara diberi kuasa untuk membuat keputusan sama ada sesuatu kes perlu dibawa ke mahkamah atau tidak. Anggapannya adalah Peguam Negara akan menghargai dan memahami betapa serius atau sebaliknya kes yang dibawa kehadapannya, bahawa dia akan menghargai keprihatinan pengadu atau agensi yang membuat laporan itu, bahawa jika ada perasaan tidak puas hati kes itu patut dihakim dalam mahkamah undang-undang oleh seorang hakim dan jika masih tidak berpuas hati rayuan dibenarkan.

4. Itulah cara yang betul. Tetapi sekarang nampaknya Peguam Negara telah membuat penghakiman itu, menolak kes itu kerana tidak mempunyai merit untuk perbicaraan di mahkamah undang-undang. Dan apabila rayuan dibuat, rayuan itu ditolak oleh beliau atas alasan yang tidak jelas. Terdapat kekurangan ketelusan di sini.

5. Adakah ini kedaulatan undang-undang yang negara ini patut dukung? Adakah Peguam Negara lebih tinggi daripada seorang hakim, yang penghakimannya adalah muktamad dan tidak ada sebarang rayuan?

6. Dalam kes ini rakyat ingin tahu sama ada Perdana Menteri terlibat atau tidak. Dengan menolak kes ini syak wasangka akan kekal dalam minda rakyat. Malah orang berfikir bahawa keputusan Peguam Negara ini mungkin tidak dibuat oleh Peguam Negara.

7. Sebaliknya kita melihat orang sedang ditahan di bawah undang-undang yang kononnya bertujuan untuk membendung keganasan.

8. Dalam ucapannya ketika memperkenalkan Rang Undang-Undang Kesalahan Keselamatan (Security Offences Special Measures Act) 2012, PM berkata aktiviti yang menjejaskan demokrasi berparlimen ditafsirkan sebagai satu aktiviti yang dijalankan oleh individu atau kumpulan dengan niat untuk menjatuhkan atau melemahkan demokrasi berparlimen melalui kekerasan dan dengan melanggar Perlembagaan.

9. Undang-Undang Kesalahan Keselamatan itu sendiri membatasi pemakaiannya bagi hal-hal keselamatan. Ia memperuntukkan penangkapan dan penahanan oleh seorang pegawai polis mana-mana orang yang dia mempercayai terlibat dalam kesalahan keselamatan selama dua puluh empat jam dan bagi maksud penyiasatan, tahanan boleh dilanjutkan selama tempoh tidak melebihi dua puluh lapan hari.

10. Penangkapan Dato Khairuddin dan peguamnya Matthias Chang telah menimbulkan perasaan takut di kalangan orang ramai bahawa melaporkan tentang salah laku Kerajaan dan pegawai-pegawainya merupakan ancaman kepada keselamatan. Pemberi maklumat yang Kerajaan dikatakan menggalakkan, kini menghadapi bahaya dituduh mengancam keselamatan negara.

11. Dengan ini titah oleh Raja-Raja untuk pemeriksaan dijalankan secara adil dan telus tidak lagi boleh dicapai. Terdapat berpuluh-puluh orang yang mempunyai maklumat tentang salah laku dalam 1MDB yang tidak akan mengambil risiko memberi keterangan atau membuat tuduhan kerana mereka menghadapi risiko ditahan dan didakwa di bawah Akta Kesalahan Keselamatan.

12. Kita semua tahu bahawa siasatan dalam hal ehwal 1MDB dan USD 700 juta dalam akaun peribadi Dato’ Sri Najib telah tergendala oleh pemecatan Peguam Negara, pemindahan pegawai-pegawai SPRM, pengebirian Jawatankuasa Kira-kira Awam dan ancaman tersirat terhadap Bank Negara. Sekarang peguam pembelaan boleh dipersoal dan ditahan.

13. Tindakan-tindakan ini telah meningkatkan kurang keyakinan dan rasa tidak percaya terhadap mereka dalam Kerajaan. Semata-mata dengan menyatakan siasatan adalah berterusan tidak akan meyakinkan rakyat bahawa kebenaran akan berlaku.

14. Di mata dunia Malaysia telah menjadi sebuah negara pariah, sebuah negara di mana sesiapa sahaja boleh ditahan dan disoal siasat oleh polis, ditahan dan didakwa melalui menyalahgunaan undang-undang negara.

15. Dan Jabatan Peguam Negara akan menolak atau tidak mengambil hirau apa-apa laporan salah laku yang melibatkan Perdana Menteri.

16. Sudah pun ahli-ahli Kerajaan mengatakan bahawa tiada sesiapa, tidak juga Raja-Raja boleh komen mengenai penyalahgunaan yang jelas undang-undang Negara oleh Kerajaan.

Sumber / Kredit : chedet.cc


Tuesday 6 October 2015

UNDI TIDAK PERCAYA KEPADA PM?

Undi Tidak Percaya

1. Saya membaca laporan bahawa Yang di-Pertua Dewan Rakyat tidak akan membenarkan usul undi tidak percaya dibentangkan di Dewan oleh sesiapa pun.

2. Beliau menegaskan bahawa hanya dia boleh membuat keputusan sama ada usul boleh dibentangkan di dalam Dewan itu atau tidak.

3. Beliau berkata sebabnya ialah kerana perintah tetap (standing order) Parlimen bisu mengenai perkara ini. Juga ia tidak pernah dilakukan sebelum ini.

4. Benar, ia tidak pernah dilakukan sebelum ini. Ini adalah kerana tiada seorang pun daripada lima Perdana Menteri sebelum ini mempunyai 2.6 bilion ringgit dalam akaun peribadi mereka, dan tiada pula mereka terlibat dalam skandal kewangan dan tuduhan pembunuhan sesiapa.

5. Tidak ada seorang daripada Perdana Menteri sebelum ini telah membongkarkan institusi-institusi penyiasat asal-usul dan di mana adanya wang yang mereka miliki.

6. Tidak ada seorang daripada Perdana Menteri sebelum ini meminjam RM42 bilion pada kos yang tinggi untuk menubuhkan dana pembangunan yang terlibat dalam urus niaga yang curigakan.

7. Tiada seorang pun daripada mereka telah melabur lebih satu bilion USD dalam projek usaha sama dengan syarikat-syarikat Arab yang kredibilitinya juga meragukan.

8. Tiada seorang pun daripada mereka telah membubarkan syarikat usaha sama hanya 6 bulan selepas pembentukan dan menukar modal 1MDB menjadi pinjaman dengan pasangan usaha sama itu yang mereka fikir tidak perlu lagi teruskan usaha sama itu.

9. Tetapi Najib terlibat dalam semua ini. Dan kini, selain daripada berkata aset 1MDB bernilai lebih daripada 42 bilion Ringgit yang dipinjam, dia tidak dapat membuktikan di mana wang itu berada. Aset ini adalah sebenarnya tanah Kerajaan yang Najib membenarkan 1MDB mengambil alih pada harga yang amat murah, dan kemudian dinilai semula lebih 500 kali ganda.

10. Suatu undi tidak percaya benar-benar demokratik. Parlimen mungkin tidak mempunyai apa-apa peruntukan untuk itu tetapi Perlembagaan, undang-undang tertinggi di negara ini dengan jelas menyatakan bahawa jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat sokongan daripada majoriti ahli-ahli Parlimen, beliau harus meletakkan jawatan. Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan menyatakan “Jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat, maka, melainkan jika atas permintaannya Yang di-Pertuan Agong membubarkan Parlimen, Perdana Menteri hendaklah menawar perletakan jawatan keseluruhan Kabinet “.

11. Jadi, adakah Yang di-Pertua Dewan cuba mengabaikan perlembagaan?

12. Hari ini, jika anda pergi ke luar negara, warga asing, terutama akhbar mereka akan bertanya, “Hai, apa yang berlaku kepada negara anda?” Anda akan berasa malu, tetapi anda tidak boleh berbuat apa-apa mengenainya. Mereka yang boleh melakukan sesuatu langsung tidak berasa malu. Mereka secara terbuka mengaku telah menerima jutaan wang daripada Perdana Menteri. Ini adalah rasuah pada peringkat paling teruk. Mereka menyokong PM kerana dia memberikan mereka wang, wang yang beliau sendiri tidak dapat menjelaskan dengan sebarang kredibiliti yang ianya diperolehi secara sah.

13. Tidak hairanlah Malaysia kini disenaraikan sebagai antara negara-negara korup di dunia. Dan kini penyokong kerajaan tidak langsung menghormati Perlembagaan.

14. Tiada undi tidak percaya kerana Yang di-Pertuan Dewan tidak akan membenarkannya.

Kredit / Sumber : chedet.cc