Subscribe For Free Updates!

We'll not spam mate! We promise.

Sunday, 11 October 2015

PENGENALAN TENTANG - SULU , ORANG SULU, SULUK, TAUSUG, BANGSA MORO

1. SULU
  
  Sulu bermaksud Negara Sulu atau Kerajaan Sulu (Empayar Kesultanan) atau Kepulauan Sulu. Maka dijelaskan, dalam Kepulauan Sulu itu terdapat 5 pulau yang utama di bawah pemerintahan Sulu iaitu Pulau Sulu @ Sug (Ibu Negeri-Jolo), Tawi-tawi, Basilan (Termasuk Zamboanga), Palawan dan akhir sekali Borneo Utara atau Sabah (sebelum menyertai Persekutuan Malaysia)
Kalau kita susun mengikut susunan ialah:

      1. Pulau Sulu @ Sug (Ibu Negeri-Jolo)
      2. Tawi-tawi
      3. Basilan (Termasuk Zamboanga di Mindano)
      4. Palawan
      5. Borneo Utara (Sabah)

  Kita sekarang hanya mengenali Sulu itu hanya dari nombor 1 sehingga 4 sahaja kerana kita tidak memasukkan Borneo Utara (Sabah) sebagai salah satu dari wilayah Sulu sebabnya ia berada dalam pentadbiran Malaysia merdeka.  Walau bagaimanapun sebahagian kecil wilayah dari Borneo Utara yang asal itu sebenarnya telah dimasukkan kedalam wilayah Kalimantan Indonesia, inilah yang kita maklumi pada hari ini.

2. ORANG SULU

   Orang Sulu bermaksud masyarakat yang pelbagai etnik (kepercayaan, bahasa dan budaya) yang tinggal di Kepulauan Sulu (tidak termasuk Mindano) iaitu etnik:
   
      1. Tausug (Suluk)
      2. Bajao (Bajau, Badjao, Badjaw, Samal, Sama)
      3. Yakan
      4. Kagayan
      5. Iranun (Ilanun)
      6. Kalibugan (Subanun, Suba'anun)

  Sekiranya kita memasukkan kaum-kaum di Borneo Utara (Sabah) maka tentu etniknya akan bertambah walaupun kaum Iranun di Sabah tapi asal mereka memang dari kepulauan Sulu juga demikian kaum Bajao adalah sama dari Kepulauan Sulu.  Seperti yang tersenarai di atas maka jelaslah bahawa Orang Sulu itu bermaksud kesemua masyarakat yang pelbagai etnik yang menduduki Kepulauan Sulu sama ada ia beragama Islam atau tidak.

3. SULUK

  Dalam konteks istilah, Suluk atau Orang Suluk adalah merujuk kepada kaum Tausug, iaitu kaum dominan di Sulu.  Orang Tausug juga digelar orang Suluk oleh masyarakat Melayu Brunei atau Borneo dan Sulawasi disebabkan kesukaran mereka menyebut "Tausug".

4. TAUSUG

   Tausug adalah perkataan asal dari perkataan Suluk atau Orang Suluk.  Orang- orang Melayu Brunei, Sabah, Kalimantan atau Sulawasi memanggil Orang Tausug sebagai Orang Suluk.  Tausug adalah kaum majoriti di Kepulauan Sulu dan punya sejarah kesultanan yang panjang sejak bermula kedatangan Islam ke Sulu pada tahun 1456 M lagi.  Bangsa ini telah menjadi gemilang dan terbilang setelah mereka semua menganut Islam.  Cara hidup mereka berubah setelah itu dan disinilah bermula kemunculan Kesultanan Tausug atau Sulu serta terbinanya satu Empayar Kesultanan Sulu yang terkenal di Alam Melayu.

   Borneo Utara (Sabah) adalah antara wilayah Sultan Sulu ketika dulu sebelum dipajakkan kepada British.  Sabah di hadiahkan oleh Sultan Brunei kepada Sultan Sulu setelah Sultan Sulu berjaya membantu Sultan Brunei menamatkan perang saudara 10 tahun.  Sejak itu bermulalah penguasaan orang Tausug terhadap Borneo Utara atau Sabah.  Kini orang-orang Tausug telah menjadi pelarian dan berserakan di mana-mana terutamanya di Malaysia kerana ada yang tidak kena dengan negara asal mereka (Sulu) hingga kini.  Ini kerana mereka terlibat dengan peperangan yang panjang sejak penjajahan Sepanyol lagi hingga kini.

5. BANGSA MORO

   Terdiri dari dua perkataan Bangsa dan Moro.  'Bangsa' adalah dari Bahasa Melayu bermaksud ras, etnik, jenis atau keturunan atau kaum dan Moro pula membawa maksud kesemua kaum-kaum atau etnik yang beragama Islam di Filipina yang menentang penjajahan.  Dalam konteks seperti yang orang-orang Sulu dan Mindanao fahami, Bangsa Moro membawa maksud kesatuan semua etnik yang menganut Islam sama ada etnik dari Sulu atau dari Mindanao untuk mewujudkan satu negara yang dinamakan 'Moroland' ataupun tanah atau wilayah Moro. Moroland hanya Sulu dan Mindanao sahaja tidak termasuk Luzon yang terdapat Bandar Manila di sana.  Kerana wilayah Luzon itu adalah kepunyaan kerajaan Filipina yang dapat dimerdekakan oleh Aguinaldo dari Amerika Syarikat.  Moro berasal dari perkataan Moor yang dinisbahkan kepada orang Islam Iberia atau Mauretania (Orang Arab Islam Sepanyol) yang dianggap ganas oleh orang Eropah kerana terlalu kuat penentanganya terhadap serangan tentera Eropah.  Ketika Sepanyol menjajah Filipina didapati ada pula kaum yang menentang mereka malah lebih ganas dari Moro di Sepanyol itu.  Maka mereka mengelar Moor juga pada orang Islam Filipina dan disebut dengan lidah Sepanyol sebagi Moro hinggalah ke hari ini.

Kredit : Asreemoro @ Asree Sug / Julasri Hajad

Socializer Widget By Blogger Yard
SOCIALIZE IT →
FOLLOW US →
SHARE IT →

0 comments:

Post a Comment